Wednesday 18 September 2013

KESERONOKKAN MELANCONG DI SURABAYA, INDONESIA
Melancong merupakan salah satu aktiviti yang amat menyeronokkan. Tambahan pula, ia memberi banyak manfaat. Semua manusia mengimpikan tempat yang indah untuk dilawati dan menghabiskan masa cuti bersama keluarga setelah penat menjalani aktiviti seharian. Pada hujung tahun lepas, saya ke sekeluarga pergi ke Surabaya, Indonesia. Surabaya memang satu tempat percutian yang menarik. Surabaya merupakan Bandar ke-dua terbesar selepas Jakarta.  Surabaya bermaksud buaya dan ikan jerung dalam bahasa jawa kerana legendanya kedua haiwan ini pernah bergaduh berebutkan Surabaya. Terdapat pelbagai suku kaum masyarakat di Surabaya antaranya Jawa, Madura, Sunda, Batak, Banjar, Minangkabau dan Bugis. Jadi kehidupannya memang dekat dengan kita di Malaysia terutama yang ada pertalian darah dengan kaum masyarakat ini maklumlah kita ini serumpun.
Penerbangan ke Surabaya mengambil masa 2 jam 30 minit dan kami selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Juanda, Surabaya jam 8 pagi. Kami meneruskan perjalanan ke tempat penginapan kami di Grand Palace Hotel di Malang.  Selesai membersihkan diri, kami sempat singgah di pasar pagi kota Malang dan di sini saya sungguh teruja kerana pelbagai makanan tradisi orang Surabaya terutamanya masyarakat  Jawa yang tidak pernah saya lihat dan rasa dapat saya temui di sini seperti tape bakar, dawet, lumpur dan leker dan macam-macam lagi. Yang paling seronok adalah melihat tempe yang dijual di pasar ini. Pelbagai jenis dan bentuk tempe ada dijual di sini.
Selepas itu, kami ke daerah Batu Malang menuju ke Kusuma Agro Wisata  sebuah kawasan tanah tinggi yang terkenal dengan penanaman epal. Tetapi malangnya musim buah epal adalah pada bulan Ogos. Kami berasa sedikit kecewa tetapi kami sempat memetik limau di ladang ini. Kami hanya dibenarkan memetik 2 biji limau sahaja. Selain itu, buah-buahan dan sayur sayuran juga turut ditanam di ladang seluas 70 hektar ini. Sebelum berangkat kami disajikan dengan jus dan puding jambu batu merah. Rasanya amat sedap dan menyegarkan. Hari semakin senja, kami terus pulang ke tempat penginapan kami untuk menjamu selera dan merehatkan diri.
Keesokan harinya, kami bersiap sedia untuk pergi ke air Terjun Coban Rondo. Air terjun yang setinggi 84 meter ini tersimpan cerita legendanya iaitu seorang puteri telah menjadi janda di air terjun yang menunggu kepulangan suaminya yang telah mati mempertahankannya dari gangguan seorang jejaka. Setelah kejadian itu, air terjun ini dinamakan Coban (air terjun) Rondo (janda) dalam bahasa jawa. Setelah itu, kami menuju ke lokasi seterusnya iaitu Gunung Bromo yang terletak di Taman Nasional Bromo Tengger Semeru, di timur kota Malang. Kami tidur satu malam di sini. Kawasan ini sangat sejuk jika di bulan Ogos dan suhu boleh mencecah 2°C. Pada malam itu, suhu hanya 10°C sahaja. Gunung Bromo (dari bahasa Sansekerta atau Jawa Kuna adalah Brahma, salah seorang Dewa Utama Hindu), merupakan gunung berapi yang masih aktif dan paling terkenal sebagai kawasan pelancongan di Jawa Timur. Tidak lengkap kiranya kalau berkunjung ke sini jika tidak melihat panorama matahari terbit. Seawal jam 3 pagi kami telah bangun menuju ke Gunung Penanjakan dengan menaiki kenderaan Jeep Pacuan 4 Roda. Suhu di di sini sungguh sejuk iaitu sekitar 10 °C.  Perjalanan menuju ke puncak penanjakkan ini amat mendebarkan kerana jalan yang agak berliku-liku dan sangat tajam. Perjalanan ke puncak penanjakan mengambil masa lebih kurang 30 minit sahaja. Apabila sampai di puncak penanjakan, kami sempat menikmati kopi panas sementara menunggu matahari terbit. Matahari mula terbit jam 5.15 pagi dan saat itu semua orang amat teruja termasuk saya apabila dapat melihat kecantikan matahari terbit ciptaan Tuhan! Saujana mata memandang! Dari sini, kita dapat melihat Gunung Bromo, Gunung Semeru dan Gunung Batok. Selepas 2 jam, kami menuruni Gunung Penanjakan dan menuju ke Savannah di kaki Gunung Bromo. Gunung Bromo merupakan kawah gunung berapi yang masih aktif. Kali terakhir gunung ini meletus adalah pada tahun 2011. Kawasan ini digelar lautan padang pasir kerana dilitupi oleh belerang gunung berapi dulu dan hanya rumput dan lalang sahaja yang tumbuh. Di sini, terdapat tempat yang menarik seperti padang pasir yang digelar pasir berbisik. Ia dikatakan pasir berbisik kerana pada Bulan Ogos merupakan musim angin kuat dan apabila pasir ini ditiup ia akan mengeluarkan bunyi seperti orang sedang berbisik kerana pasirnya bergesel antara satu sama lain apabila angin bertiup. Tempat ini juga pernah dijadikan lokasi filem Pasir Berbisik lakonan hebat Dian Sastrowardoyo dan Chritine Hakim.

Hari Ketiga, kami berpeluang untuk membeli belah di Kota Surabaya. Sebelum itu, kami singgah di Muzium Rokok Sempoerna dan Muzium Kapal Selam. Terasa macam askar tentera laut pula bila berada di dalam kapal selam. Kami juga mengambil peluang untuk pergi ke Pulau Madura dan membeli belah kain batik Madura di sana. Pelbagai jenis jualan yang boleh kita dapati di sini dari pakaian hinggalah makanan. Sebelum berangkat pulang ke tanah air, kami singgah ke restoran IBC dan kami sempat mencuba pelbagai jenis sup di restoran ini seperti soto, dan sup rawan. Makanannya amat menyelerakan. Setelah selesai makan, kami meneruskan perjalanan kami ke Lapangan Terbang Antarabangsa Juanda, Surabaya. Kami begitu seronok untuk pulang ke tanah air walaupun hati amat sedih untuk meninggalkan kota Surabaya yang rasanya belum puas untuk kami terokai. Pengalaman sebegini tidak akan kami lupakan dan sudah pastinya kami akan kembali lagi ke sini.

No comments:

Post a Comment

CARA MENJAWAB SOALAN HIPOTESIS

SOALAN BAHAGIAN B

ALAM SEMESTA

TEKNIK MENJAWAB SOALAN BAHAGIAN B

CONTOH KAJIAN TINDAKAN

RANTAI MAKANAN

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...